KAWALAN AKUSTIK DAN GANGGUAN BUNYI DI MASJID DAN SURAU

Masjid dan surau di Malaysia terkenal dengan seni bina yang indah. Namun, selain nilai estetika seni bina, sesebuah masjid dan surau perlulah dipastikan praktikal untuk diimarahkan. Ini termasuklah kualiti akustik dan sistem audio yang berkesan sebagi medium penyampaian syiar-syiarnya.

Antara cabaran akustik dan audio yang sering berlaku adalah bunyi khutbah/kuliah yang tidak jelas akibat gema di dalam dewan solat, laungan azan yang terlalu sayup/bingit, atau bunyi mikrofon yang berdesing lalu mengganggu kekhusyukan ibadah. Cabaran-cabaran ini boleh diatasi dengan rawatan akustik, penyelenggaraan dan naik taraf sistem audio. Semua ini adalah pelaburan penting yang perlu diteliti demi penyampaian syiar Islam yang berkesan.

Berikut adalah 4 cabaran bunyi dan akustik yang sering dialami oleh masjid dan/atau surau serta penyelesaian praktikal untuk mengatasinya:

1. Khutbah/Kuliah yang Terlalu Bergema dan Tidak Jelas 

Pernahkah anda masuk ke masjid yang besar, tetapi apabila Khatib membaca khutbah, butiran suaranya sukar difahami? Punca utamanya adalah gema (reverberation) yang berlebihan dimana bunyi melantun-lantun tanpa kawalan dari speaker ke permukaan keras seperti plaster ceiling, dinding kosong, lantai marmar, pintu berkaca/tingkap dan sebagainya. Ia sering kali menjadi lebih drastik apabila terdapat kubah yang bersaiz besar.

Cara Mengatasi: Masalah pantulan bunyi ini boleh dikawal menggunakan dua teknik rawatan akustik;

  1. Diffusion (Serakan Bunyi): Memecahkan lantunan bunyi dengan menggunakan permukaan yang tidak rata atau berlekuk-lekuk seperti lubang angin, ‘muqarnas’ dan chandelier bersaiz besar.

  2. Absorption (Serapan Bunyi): Menyerap lantunan bunyi berlebihan menggunakan bahan khusus seperti panel akustik dan siling akustik.

Kedua-dua teknik ini boleh digabungkan dan diolah oleh perekabentuk dalaman supaya dewan solat mendapat kualiti bunyi yang cemerlang serta memberi nilai tambah kepada estetikanya.

2. Bunyi Azan yang Terlalu Sayup/Bingit

Laungan azan sebaiknya dapat didengari oleh seluruh kariah. Namun, jika kita sekadar memutar butang volume ke tahap yang tinggi untuk mencapai tujuan ini, jiran-jiran yang tinggal bersebelahan masjid terpaksa menanggung bunyi yang terlalu kuat dan boleh mengganggu pendengaran mereka.

Penyelesaian: Gunakan speaker jenis Straight Horn di menara azan. Speaker jenis ini membolehkan bunyi azan disampaikan ke kawasan yang lebih jauh tanpa menghasilkan bunyi yang terlalu bingit pada kawasan berdekatan. Sebagai contoh, jenama TOA dari Jepun menawarkan model straight horn seperti DH-120 yang boleh dipadankan dengan dua driver unit untuk kawalan bunyi dan lontaran yang lebih sekata.

3. Bunyi Berdesing (Audio Feedback) yang Menyakitkan Telinga

Pernahkah anda terdengar bunyi berdesing atau “humming”  yang tiba-tiba membingitkan dewan solat? Situasi ini dikenali sebagai audio feedback. Ia berlaku apabila bunyi yang keluar dari speaker masuk semula ke dalam mikrofon secara berulang-ulang lalu membentuk satu kitaran bunyi yang berpanjangan dan berdesing.

Cara Mengatasi:

  • Pastikan tiada mikrofon yang diarahkan terus menghadap ke arah speaker.

  • Jauhkan kedudukan mikrofon daripada speaker yang berhampiran.

  • Gunakan Equalizer (EQ) pada sistem PA untuk menurunkan kekuatan frekuensi khusus yang menjadi punca utama tercetusnya feedback tersebut.

4. Imam Mengadu Bunyi Tidak Jelas/Keletihan Melontarkan Suara

Dalam ibadah yang panjang seperti solat sunat Tarawih, adakalanya Tuan Imam mengadu sakit tekak dan kepenatan kerana terpaksa menguatkan suara. Apabila Imam tidak mendengar suaranya sendiri dengan jelas, beliau berkemungkinan akan meninggikan suara kerana risau jemaah tidak dapat mendengar bacaan dengan baik, sedangkan jemaah sudah pun mendengarnya dengan cukup jelas melalui speaker di sekeliling dewan solat.

Penyelesaian: Isu sebenar di sini adalah ketiadaan speaker khusus untuk rujukan Imam. Pasangkan Monitor Speaker yang dihalakan terus kepada beliau. Ini bertujuan membolehkan Tuan Imam mendengar butiran suaranya sendiri. Hasilnya, Imam akan merasa lebih selesa, yakin, dan ibadah solat dapat dipimpin dengan lebih khusyuk tanpa perlu menekan suara.

Kesimpulan

Kepincangan dalam memastikan kualiti bunyi yang baik di sesebuah masjid dan surau benar-benar dapat merencatkan objektifnya untuk menjadi pusat ilmu dan ibadah, terutamanya yang bersifat berjemaah. Teknologi terkini seperti perisian simulasi akustik boleh digunapakai bagi memastikan kualiti bunyi yang baik bakal dicapai walaupun sesebuah masjid/surau itu masih di peringkat perancangan. Rekabentuk akustik yang baik serta penggunaan sistem audio digital berteknologi tinggi seharusnya bergerak seiring bagi mencapai kualiti bunyi yang optimum di sesebuah masjid dan surau. Rujukan kepada pakar adalah sangat diperlukan untuk mengelakkan “kesilapan” rekabentuk, seterusnya “cubaan” pemulihan secara trial and error yang melibatkan belanja yang tinggi atau lebih parah lagi, pembaziran apabila tidak berjaya.

Berpengalaman dalam bidang akustik dan kawalan bunyi untuk kediaman, pejabat dan fasiliti komersial.

Hubungi Kami

+019-641 3734

ahmadfikri.khan@gmail.com

KBC Studio, Kajang, Selangor