KAWALAN AKUSTIK DI RUANGAN PEJABAT

Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi kecekapan seseorang pekerja di ruang pejabat. Antara elemen yang dominan adalah keselesaan dari segi bunyi dan akustik, yang selalu diabaikan atau terlepas pandang. Sesebuah pejabat yang kondusif haruslah menitikberatkan isu-isu yang berkaitan dengan perkara ini terutamanya dari sudut:

A) BUNYI BISING IMPULSIVE NOISE

Impulsive noise adalah bunyi bising yang terjadi secara rawak dan tiba-tiba serta sangat mengganggu konsentrasi kerja. Ia boleh terhasil dari dalam ruangan pejabat seperti bunyi perbualan telefon/rakan sekerja, bunyi mesin lif, bunyi deringan telefon dan sebagainya. Ia juga boleh datang dari luar bangunan contohnya bunyi hon kenderaan, bunyi dari projek pembinaan berhampiran, bunyi lintasan kereta api dan lain-lain.

Bagi mengurangkan gangguan impulsive noise, kita perlu mengenalpasti punca bunyi (sound source) tersebut. Jika punca bunyi itu mudah alih, ia perlu diletakkan jauh ataupun terhalang dari kawasan meja pekerja individu. Sebagai contoh, perbualan telefon perlu dibuat di dalam bilik yang dikhaskan, dan bilik itu perlulah menggunakan bahan penebat bunyi yang baik. Tebatan bunyi ini boleh diukur dari nilai STC1 (Sound Transmission Class)nya.

Sekiranya punca bunyi impulsive noise itu tidak boleh dialih seperti bunyi hon kereta dan projek pembinaan, kawasan meja pekerja individu perlulah dialihkan ke kawasan yang kurang terdedah kepada gangguan bunyi tersebut. Sekiranya masih tidak memadai, penghalang diantara punca bunyi dan kawasan pekerja perlulah menggunakan bahan yang mempunyai nilai STC yang lebih tinggi. Sebagai contoh, sesebuah pejabat yang berada berhampiran trek kereta api amat disarankan untuk menggunakan double-glazing glass untuk bahagian tingkapnya. 

B) PRIVASI PERBUALAN

Pelbagai perkara sensitif selalu dibincangkan di dalam sesebuah organisasi. Mesyuarat-mesyuarat di peringkat pengurusan, perbincangan yang melibatkan urusan sumber manusia dan kewangan serta perbualan sulit bersama klien adalah beberapa contoh aktiviti perbualan yang perlu dikawal dari sudut privasi. 

Masih merujuk kepada STC, bilik-bilik yang dikhususkan untuk tujuan privasi mestilah dipastikan pemilihan bahan binaannya dan juga kaedah pemasangannya. Pemasangan yang dilakukan oleh kontraktor yang tidak berpengalaman boleh mengakibatkan kerugian kerana bahan binaan yang mempunyai nilai STC yang tinggi biasanya mahal, tetapi tidak berfungsi jika tidak dipasang dengan cara yang betul. Sebagai contoh, sebarang liang udara yang tidak ditutup kemas ataupun merekah boleh menjadi punca kebocoran bunyi. 

Nota tambahan: Pintu sesebuah bilik sering menjadi punca kepada kebocoran bunyi. Selain pemilihan daun pintu yang tidak berkualiti dari sudut nilai STC, kebocoran sering terjadi melalui liang udara di sekeliling daun pintu walaupun telah diselak. Perkara ini boleh diatasi menggunakan daun pintu berketumpatan tinggi seperti solid door atau fire door dilengkapi dengan acoustic door seal yang berkualiti dan dipastikan rapat ketika pintu ditutup. 

C) KEJELASAN PERTUTURAN 

Kejelasan pertuturan amat diperlukan ketika sesi mesyuarat/taklimat dan latihan/kursus. Nilai akustik yang sangat mempengaruhi kejelasan pertuturan adalah Reverberation Time (RT602) dan Noise Criterion (NC3). 

RT60 adalah kadar gema di dalam sesebuah ruang/bilik. Nilai RT60 yang terlalu panjang akan mengakibatkan pertuturan menjadi tidak jelas serta menjadikan sesebuah bilik itu hingar-bingar sekiranya terdapat pelbagai pihak yang bersuara seperti dalam sesebuah sesi perbincangan. Fenomena ini boleh menyebabkan ketidakselesaan (fatigue) dan berpotensi menghasilkan suasana yang tegang. 

RT60 boleh dikawal dengan menggunakan bahan-bahan kemasan yang menyerap pantulan seperti acoustic ceiling dan acoustic wall panel. Jurutera akustik boleh menentukan kuantiti penyerap bunyi yang diperlukan dalam sesebuah bilik latihan/mesyuarat menggunakan formula Sabine atau perisian simulasi akustik. Nilai RT60 sesebuah ruang sangat berkait rapat dengan nilai Sound Absorption Coefficient4 (α) bagi bahan-bahan kemasan yang digunakan di dalam ruang itu. 

NC pula adalah kadar bunyi bising di dalam sesebuah ruang/bilik. Semakin tinggi nilai NC, semakin bisinglah sesebuah ruang/bilik itu. Sekiranya terlalu tinggi, ia akan menyukarkan sesuatu pertuturan untuk didengari, mengakibatkan gangguan penyampaian maklumat atau boleh menjadikan seseorang itu cepat letih ketika bertutur dalam tempoh yang lama seperti sesi pembentangan atau ketika mengendalikan kursus.

NC boleh dikawal dengan mengenalpasti punca bunyi samada dengan mengalihkannya ke tempat yang lebih tersorok atau dengan memasang sistem peredam bunyi (silencer). Sebagai contoh, blower pendingin hawa yang menggunakan centralized system perlu diletakkan di luar bilik mesyuarat agar tidak “terkepung” dan menjadi terlalu bising. 

Sebagai nota tambahan, nilai NC juga tidak boleh terlalu rendah. Selain memakan belanja yang tinggi, NC yang terlalu rendah mengakibatkan pelbagai impulsive noise menjadi jelas dan mengganggu tumpuan kerja. Fenomena ini dikenali sebagai Sound Masking Effect^5.

KESIMPULAN

Perancangan kawalan akustik perlu dibuat dari peringkat awal susun atur sesebuah pejabat. Punca bunyi yang berpotensi untuk menjadi gangguan boleh disenaraikan dari awal dan dikenalpasti kaedah yang paling efisen untuk mengawalnya. Lawatan tapak adalah amat penting untuk dilaksanakan sebelum membuat keputusan untuk membeli/menyewa sesebuah ruang pejabat, terutama ketika waktu operasi. Kos rawatan akustik boleh dijimatkan atau dihindarkan sama sekali sekiranya pemilihan tempat dilakukan dengan analisis yang teliti.

Nota/rujukan;

1 – Sound Transmission Class (STC)

2 – Reverberation Time

3 – Noise Criterion

4 – Sound Absorption Coefficient

5 – Sound Masking Effect 

 

Berpengalaman dalam bidang akustik dan kawalan bunyi untuk kediaman, pejabat dan fasiliti komersial.

Hubungi Kami

+019-641 3734

ahmadfikri.khan@gmail.com

KBC Studio, Kajang, Selangor